Friday 23 September 2011

PAS buat gimik hudud untuk tutup kesalahan membunuh Negara Islam

Sikap PAS yang ketika ini seolah-olah merajuk dengan DAP amat menggelikan hati seperti seorang isteri yang merajuk dengan madunya. 

Dan tindakkan si suami Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat sebagai menyebelahi PAS tidak menyenangkan hati DAP. 

DAP berkehendakkan PAS berpegang kepada Negara Kebajikan seperti yang diputuskan dalam Muktamar Tahunan PAS ke-57 pada Jun lepas tetapi Datuk Nik Aziz Nik Mat kelihatan beriya-iya untuk melaksanakan hukum hudud. 

Adakah ini membawa maksud PAS tidak lagi sanggup membiarkan perjuangannya dirogol oleh DAP dengan rakus sekali? 

Ataupun ini hanyalah satu lakonan politik semata-mata memandangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seorang pelakon dan penulis skrip yang bijak. 

Dan sekiranya ini bukan satu lakonan politik, ianya jelas menunjukkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim amat pandai memperdayakan PAS sehingga sanggup membunuh hukum hudud dan Negara Islam. 

Kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan kata-kata manisnya menjanjikan bulan dan bintang kepada PAS menyebabkan PAS sanggup tidur sebantal dengan DAP. 

Dan kemudiannya, si suami memujuk si isteri untuk membuang pegangan hukum hudud dan Negara Islam kerana madunya tidak selesa dengan pegangan tersebut. 

Selepas dipujuk rayu, si isteri dengan rela hati menukar pegangannya dari hukum hudud dan Negara Islam kepada Negara Kebajikan sepertimana dikehendaki oleh madunya. 

Sekarang si isteri merajuk dengan madunya dan si suami sedang memujuk kedua-dua isterinya dengan kata-kata manis yang lebih manis daripada madu lebah.

Walau bagaimanapun, sekiranya benar bahawa PAS beriya-iya untuk melaksanakan hukum hudud, adakah ini bermaksud PAS tidak lagi rela prinsip perjuangannya dirogol dengan rakus sekali oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP? 

Adakah PAS baru tersedar dari lamunan indah bahawa mereka diperbodohkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP? 

Mengapa PAS begitu bodoh sehingga dapat diperbodohkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP? 

Kerana janji-janji manis bahawa Pakatan Pembangkang akan berupaya membentuk Kerajaan Persekutuan sekiranya PAS menolak hukum ALLAH dan menerima Negara Kebajikan? 

Bukankah amat janggal sekali parti yang mengaku berjiwa Islam, agama ALLAH, tetapi menolak hukum ALLAH? 

Dan sekarang menyesal? Tetapi adakah penyesalan ini ikhlas ataupun hanya untuk mendapat simpati dari pengundi Islam? 

Pemuda PBB Padungan percaya polimik hukum hudud dan perlaksanaan hukum ALLAH ini hanya satu gimik semata-mata yang dirancang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tujuan untuk mendapatkan simpati dari para pengundi Islam, termasuk ahli-ahli PAS sendiri. 

Pakatan Pembangkang menjangka bahawa pilihanraya umum akan diadakan tidak lama lagi. 

Sebab itu, satu gimik untuk membawa kembali pengundi Islam kepada PAS mesti dilakukan sebelum terlambat. 

Tetapi malangnya, Pemuda PBB Padungan berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim, PAS dan DAP telah memperlekehkan kematangan pemikiran rakyat dengan melakukan gimik sedemikian. 

Adakah rakyat akan percaya dengan 'kekecohan' ini apabila PAS hakikatnya masih mendokong Negara Kebajikan sepertimana dikehendaki oleh DAP? 

Pemuda PBB Padungan cabar PAS untuk adakan muktamar tergempar untuk memasukkan semula perjuangan hukum hudud dan Negara Islam dalam perlembagaan parti sekiranya ia benar-benar ikhlas ingin memperjuangkan hukum hudud dan Negara Islam. 

Sekian. Terimakasih.

Ir. Haidel Heli
Ketua Pemuda PBB Padungan
-----------------

Oleh Norliza Wasilan dan Haspaizi Mohd Zain 
bhnews@bharian.com.my 
2011/09/23 

PAS tetap laksana hukum hudud walaupun dapat tentangan Kit Siang, Karpal 

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata beliau tidak kisah DAP keluar daripada pakatan pembangkang jika tidak setuju dengan pendiriannya mengenai pembentukan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. 

Menteri Besar Kelantan itu berkata, DAP pernah keluar daripada kerjasama pembangkang ketika dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) sebelum ini dan menyertai semula pakatan pembangkang selepas itu. 

"Nak jumpa berapa kali jumpa dah... DAP dah keluar sekali dalam APU dulu. Tak apa saya kata... bye bye tak ada apa, sekarang ini dia masuk balik, jadi itu dia punya pasal. 

"Kalau tak mahu buat negara Islam, kita buat bumi sendiri, jangan menumpang bumi Allah, buat udara sendiri, jangan menumpang udara Allah, buat matahari sendiri, jangan menumpang matahari Allah. Selagi kita menumpang di bumi Allah maka agama yang Allah rasmikan ialah Islam," katanya ketika ditemui selepas Himpunan Peserta Kursus Kenegaraan 2011, di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat PAS menubuhkan negara Islam meskipun mendapat tentangan, terutama daripada DAP. 

Semalam, akhbar melaporkan Pengerusi DAP, Karpal Singh terkejut dan mempersoalkan hasrat Kerajaan PAS Kelantan melaksanakan juga hudud kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. 

Selain itu, Tun Dr Mahathir dilaporkan membidas Nik Aziz kerana menganggap beliau penghalang utama pelaksanaan hukum itu ketika menjadi Perdana Menteri dan bukannya Karpal. Dr Mahathir juga mencabar Nik Aziz melaksanakannya kerana beliau kini bukan lagi Perdana Menteri dan tidak boleh menghalangnya berbuat demikian. 

Mengulas hasrat pelaksanaan hudud di Kelantan yang mungkin menjejaskan hubungan PAS dengan rakan dalam pakatan pembangkang, Nik Aziz menegaskan beliau tetap dengan pendirian itu. 

"Saya tetap dengan agama Islam dan itu adalah yang diperjuangkan waktu mula-mula PAS diwujudkan. Ia bukan benda baru lagi... (mengenai) dialog, berapa kali dialog dah kami lakukan, sudah 20 tahun," katanya. 

Di KUALA LUMPUR, Karpal berkata cadangan Nik Aziz mewujudkan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud sebagai membelakangi keputusan Muktamar Tahunan PAS ke-57, pada Jun lalu yang menukar dasar penubuhan negara Islam kepada negara berkebajikan. 

Ia bukan saja dilihat tidak pragmatik, malah tidak kena pada masanya selain bercanggah dengan dasar pakatan pembangkang dan boleh menimbulkan ketakutan masyarakat bukan Islam. 

Beliau juga hairan dengan kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara peribadi menyokong hasrat Nik Aziz menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud. 

“Pelaksanaan hukum hudud boleh mengundang kebimbangan masyarakat bukan Islam bahawa ada usaha untuk mewujudkan negara Islam seperti Arab Saudi dan Sudan yang melaksanakan hukum hudud sehingga wujud jurang antara masyarakat Islam dan bukan Islam,” katanya ketika dihubungi. 

Karpal juga berkata, Kerajaan PAS Kelantan harus pragmatik dan menerima hakikat bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan apa juga undang-undang berhubung kesalahan jenayah adalah termasuk dalam bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan. 

Katanya, pakatan pembangkang juga perlu menyatakan pendirian berhubung isu berkenaan bagi meredakan kebimbangan masyarakat bukan Islam, tetapi menyifatkan kenyataan Anwar sebagai pandangan peribadi dan tidak mewakili PKR. 

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dalam laman sosial Twitter, berkata DAP konsisten dengan pendirian menolak penubuhan negara Islam serta hukum hudud yang dicadangkan PAS dan menganggap ia tidak sesuai dilaksanakan di negara ini. 

Lim berkata, hasrat PAS menubuhkan negara Islam dan hukum hudud bertentangan dengan dasar pakatan itu sebelum ini dan sebarang perubahan perlu diputuskan ketiga-tiga parti. 

Sementara itu Anwar berkata, secara peribadi beliau menyokong usaha kerajaan PAS Kelantan melaksanakan hukum hudud kerana ia tidak melanggar hak orang bukan Islam dan pentadbiran adil adalah dijamin. 

“Buat masa ini, secara umum pada dasarnya saya percaya ini boleh dilaksanakan. Dalam perkara tertentu, terdapat jaminan yang jelas mengenai pentadbiran yang adil. Ia tidak mencabuli hak orang bukan Islam dalam apa cara sekalipun," katanya.

No comments:

Post a Comment