Wednesday, 21 September 2011

Nik Aziz tuduh 'orang luar' burukkan wajah hudud tetapi bukankah PAS sendiri yang bunuh negara Islam???

Pemuda PBB Padungan merasa keliru dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengatakan kekecewaan beliau dengan 'wajah' hudud yang 'begitu buruk'.

Beliau menuduh 'orang luar' sebagai agen perosak imej dan perlaksanaan hudud dan ajaran Islam.

Tetapi siapakah yang mengugurkan perjuangan penubuhan negara Islam dari misi parti kalau bukan PAS sendiri?

Bukankah PAS sendiri yang turut sama merosakkan hudud dan ajaran Islam melalui penolakkan penubuhan negara Islam yang diperjuangkannya?

Sebelum ini, apabila Malaysia diisytiharkan sebagai negara Islam, PAS menolak status negara Islam tersebut kerana tidak mengikuti konsep negara Islam yang diperjuangkan PAS.

Dewasa ini ternyata peimpin-pemimpin PAS terpaksa mengakui hakikat kesukaran untuk menubuhkan negara Islam yang berpaksikan PAS dan kemudiannya mengambil keputusan untuk membunuh perjuangan penubuhan negara Islam yang berpandukan model Islam PAS ini.

Alasan yang diguna pakai untuk mewajarkan pengguguran ini ialah PAS perlu menggugurkan perjuangan ini untuk membolehkan parti tersebut mendapat tempat dihati para pengundi yang bukan beragama Islam.

Keputusan ini membawa kepada satu persoalan: Adakah PAS ini benar-benar memperjuangkan agama Islam ataupun berjuang untuk mendapatkan undi?

Ahli-ahli PAS akan berhujah dengan berkata PAS perlu mendapatkan undi terlebih dahulu sebelum menubuhkan negara Islam berpaksikan PAS, tetapi bukankah ini membawa maksud PAS menipu pengundi dari kalangan bukan penganut agama Islam?

Sekiranya PAS sanggup menipu untuk mendapatkan undi, maka tiada bezanya PAS dan DAP yang sanggup menipu dengan mengatakan undi untuk BN adalah undi untuk anti-Kristain dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lepas.

Pemuda PBB Padungan merasa sedih dengan penipuan-penipuan yang dilakukan oleh Pakatan Pembangkang semata-mata untuk mendapatkan undi.

Hujah bahawa usaha mendapatkan undi lebih penting dari prinsip yang diagungkan dalam parti tidak dapat diterima pakai kerana ianya hanya akan merosakkan negara dan akan menyebabkan kekacauan politik yang teruk.

Rakyat Sarawak mesti menolak Pakatan Pembangkang kerana kita tidak boleh memperjudikan nasib kita dengan mengundi parti-parti yang mengutamakan undi daripada prinsip yang diperjuangkan.

Barisan Nasional adalah pilihan yang tepat untuk anda semua.

Hidup Sarawak!!! Hidup Barisan Nasional!!! Hidup PBB!!!

Sekian. Terimakasih.


Ir. Haidel Heli
Ketua Pemuda PBB Padungan
-----------------

Oleh Syed Mu’az Syed Putra September 20, 2011

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan golongan yang menolak untuk melaksanakan hukum hudud seperti menghina dan mengetepikan ajaran Islam, dan merupakan golongan yang “jahil.”

Nik Aziz berkata, kekeliruan tentang hukum hudud berlaku disebabkan pandangan yang dikeluarkan golongan tertentu yang jahil tentang undang-undang Islam itu.

“Saya menyebut hakikat ini kerana kekeliruan yang timbul atau sengaja ditimbulkan dalam negara kita bahawa hudud ertinya hukuman ke atas pesalah.

“Justeru, hudud diwajahkan dengan wajah yang begitu buruk dan mengerikan. Seolah-olah apabila hukum hudud dilaksanakan, semua tangan akan dipotong dan semua batu akan dijadikan lontaran untuk pesalah,” kata beliau.

“Kita masih terngiang-ngiang kata-kata sinis yang dilontarkan sedikit masa lalu yang menyatakan ‘Jika mahu menikmati sup tangan, silalah ke Kelantan’ dan ‘akan habislah batu-batu di Kelantan digunakan untuk melontar pesalah zina’,” kata Nik Aziz lagi.

Sekalipun ia sudah lama diucapkan, kata beliau,  hakikatnya kata-kata dan ucapan seperti inilah yang memberikan imej yang negatif terhadap undang-undang hudud.

Berucap merasmikan  Hari Hududullah di Kota Baru, Kelantan pagi tadi, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, disebabkan kekeliruan itu ramai umat Islam dalam negara ini tidak memahami hukum hudud mengikut ajaran Islam.

“Hasilnya, masyarakat bukannya semakin dekat dengan Islam tetapi semakin jahil dan semakin jauh daripada syariat Islam yang sebenar.

“Syariat Islam bukannya dilihat indah dam cantik, tetapi dilihat primitif, ketinggalan zaman, ‘ouf of date’  dan sebagainya,” katanya menambah, orang bukan Islam turut salah faham tentang undang-undang Islam yang sebenar.

Kerajaan negeri Kelantan pimpinan Nik Aziz sebelum ini telah menggubal undang-undang hudud namun tidak dapat dilaksanakan ekoran surat amaran yang dikeluarkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Nik Aziz pada 8 Jun lalu berkata hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud tidak dapat dilaksanakan kerana Dr Mahathir telah menyekat pelaksanaannya, ia disekat melalui satu surat amara dihantar kepada pemimpin veteran itu.

Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telah pun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993.

Ini berikutan dengan janji PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihan raya umum 1990.

Menurut Nik Aziz, isu-isu agama yang berlaku sejak kebelakangan ini menambahkan lagi salah faham dan pandangan serong terhadap ajaran Islam yang sepatutnya tidak berlaku dalam negara yang berlandaskan prinsip Islam.

“Isu-isu seperti larangan bukan Islam memasuki masjid dan juga bacaan al-Quran di pembesar suara misalnya, ditangani dengan wajah yang lebih cenderung ke arah sentimen tanpa bimbingan ilmu yang sebenar. Hasilnya, sentimen yang dibakar bertambah panas sedangkan panduan sebenar Islam diketepikan.

“Saya sifatkan golongan yang menolak, menghina dan mengenepikan syariat Islam khususnya hudud merupakan golongan yang jahil dan tidak mengetahui keindahan syariat Islam itu sendiri,” katanya sambil menambah, sekalipun mungkin mereka beragama Islam, tetapi Islam yang dianuti hanya di ruang yang terbatas tanpa didaulatkan sebagai undang-undang yang memerintah.

Tambah Nik Aziz, hukum hudud bukan dijatuhkan oleh orang pilitik tetapi hakim yang akan mengadili sebarang perbicaraan.

“Saya juga ingin tegaskan bahawa hukum hudud ini jika dilaksanakan bukannya dipelopori oleh orang politik. Tetapi hakim yang akan menjatuhkan hukuman. Itupun akan menjalani perbicaraan yang adil terlebih dahulu.

“Jadi tidak perlu untuk merasa gerun dan takut dengan hukum hudud kerana bimbang kononnya akan dikuasai oleh orang politik,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau juga berharap golongan yang menolak hukum hudud “dapat diperbetulkan” selaras dengan kehendak Islam.

 “Justeru, saya mengharapkan agar tabiat menolak hudud ini dapat diperbetulkan agar jangan menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat,” katanya.

No comments:

Post a Comment